Edisi: JANUARI/FEBRUARI '99 Muka 1 
Halaman Bekas Pelajar Sekolah Tinggi Segamat Johor Darul Takzim
  Sekolah Tinggi Segamat - Bangunan Utama

[ Mailing List Utama| Berita Semasa |Agama| Ekonomi | Pendidikan | Politik Semasa | Edisi Terdahulu ]
[ Sukan | Gadis Johor | Enjin Pencari | Album Saalihiin | Lihat Komen | Hantar Komen | Zil's Domain ]

Minda MB Lidah Pengarang Matematik Dadah - Musuh Negara Technology 
 
 

Hargai Lulusan Matematik  
Oleh Prof Madya Dr. Zuhaimy Ismail
(Universiti Teknologi Malaysia)
 MALAYSIA kini tinggal kira-kira 22 tahun sahaja lagi sebelum mencapai taraf sebuah negara membangun sepenuhnya. Suatu visi yang mampu dicapai oleh Malaysia dan bukan sesuatu yang mustahil walaupun ianya akan diiringi penuh dengan cabaran dan halangan. 

Cabaran di alam pendidikan amat berat sekali, khasnya kepada para pendidikan matematik. Tugas utama adalah untuk mendidik masyarakat supaya menerima matematik di semua peringkat dari alam bangku sekolah hinggalah ke alam pekerjaan dan kehidupan. 

Rata-rata masyarakat kita memang menyanjung tinggi peranan matematik malah ukuran kebijaksanaan pelajar itu juga melihat kepada pandainya ia dalam pelajaran matematik. 

Dari darjah satu hingga tingkatan lima, kita dapati masyarakat kita meletakkan matematik ditahap yang tinggi. Guru-guru sekolah menekankan supaya pelajar sekurang-kurangnya mendapat kredit dalam matematik (atau matematik tambahan) di peringkat Peperiksaan Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Cuba perhatikan reaksi masyarakat kita terhadap keputusan yang baik dalam bidang matematik. Terdapat ibu bapa yang boleh menerima keputusan anak mereka yang kurang baik dalam mata pelajaran matematik kerana menganggap ia sememangnya susah. 

Walau bagaimanapun, harapan ibu bapa amatlah tinggi supaya anak-anak mereka lulus dengan baik dalam matematik. Ini memang wajar kerana untuk mengikuti kursus di peringkat universiti, lebih daripada 80% kursus yang ditawarkan memerlukan keputusan kredit dalam matematik, tidak kira dari kursus kejuruteraan hinggalah kepada arkitek. 

Malah ujian yang dijalankan terhadap pelajar yang berkelulusan matematik mendapati mereka lebih cekap menyelesaikan masalah dan hasil kerja yang jauh lebih baik berbanding pelajar tiada berkelulusan matematik . 

Ini bukan satu rekaan, tetapi suatu keputusan dari satu ujikaji yang dijalankan. Kepentingan ini amat disedari oleh bangsa Cina di Malaysia dan kita dapati usaha yang diberikan kepada ilmu matematik jauh lebih banyak dibandingkan dengan bangsa kita. 

Di sekolah Cina, kita dapati setiap soalan dalam buku latihan matematik mesti diselesaikan oleh pelajar tetapi di sekolah kebangsaan para guru hanya memilih beberapa soalan untuk dijawab. Ini tidak bermakna semua sekolah mengamalkan perkara seperti ini. 

Apa yang ingin saya kemukakan kepada para pembaca adalah kemanakah perginya cendekiawan matematik di peringkat sekolah. Ramai di antara mereka (tidak semua) yang mengikuti kursus matematik di peringkat universiti setelah permohonan mereka untuk mengikuti kursus lain tidak berjaya! 

Ini amat ketara di UTM, contohnya, bilangan mereka yang major matematik boleh dibilang dengan jari dan bilangan ini amat mendukacitakan. 

Di mana mereka yang pandai matematik di peringkat SPM? Mengapa mereka tidak mahu meneruskan pengajian mereka dalam bidang matematik? 

Sekarang ini permintaan kepada guru dan pensyarah matematik sangat banyak dan persoalannya, bagaimana kita boleh memenuhi permintaan ini jika masyarakat kita tidak mahu menggalakkan anak-anak mereka mengambil bidang matematik di peringkat universiti. 

Satu jawapan kepada persoalan ini adalah kerana prospek pekerjaan. Salah satu punca dikenalpasti adalah bidang pekerjaan yang boleh dilakukan oleh lulusan matematik setelah tamat pengajian. Alam pekerjaan baik dalam syarikat swasta atau kerajaan, bidang untuk lulusan matematik seolah-olahnya terhad sekali. Persoalannya adakah ini benar? 

Benarkah bidang pekerjaan yang boleh dilakukan oleh lulusan matematik terhad. Pengurus kilang seolah-olah tidak dapat membayangkan apa yang boleh dilakukan oleh lulusan ini dan seringkali diserahkan kepada orang lain. 

Persoalannya, adakah ahli matematik tidak mampu melakukan kerja pentadbiran. Jika dilihat di negara maju atau negara membangun yang ingin kita halakan negara kita ini, kita dapati lulusan matematik bukan sahaja bekerja sebagai pengurus bank, malah menjadi pegawai tadbir, pengarah pemasaran, juru analisis dan berbagai jenis pekerjaan yang jika dibandingkan dengan negara kita ini amatlah jauh sekali penerimaan mereka terhadap lulusan matematik. 

Bukankah kita tahu bahawa matematik itu sebagai 'the mother of science' sebagai satu bidang utama dalam menceburi semua bidang sains yang lain. 

Buktinya jelas, kita lihat akan penceburan pensyarah matematik yang menjalankan kerja penyelidikan di peringkat PhD. 

Begitu ramai yang mendapatkan PhD mereka menyelesaikan masalah kejuruteraan awam, kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik, jentera, pengurusan dan sebagainya. Cuma tak dengar lagi mereka membuat PhD dalam Usuluddin. Hairan dan pelik! 

Pada satu peringkat masyarakat kita amat mementingkan matematik tetapi setelah pelajar mencapai lulusan Sarjana Muda Matematik, masyarakat tidak tahu dimana ahli matematik boleh diletakkan atau jenis pekerjaan yang boleh dilakukan oleh mereka. 

Masyarakat kita tidak memandang tinggi terhadap lulusan matematik untuk menjadikan mereka seorang pembuat keputusan (decision maker). 

Pekerjaan yang jelas untuk lulusan matematik hanyalah guru dan pensyarah sahaja. Ini tentunya tidak benar sama sekali. Jika di alam pengajian, mereka yang mempunyai asas matematik yang kukuh boleh menjangkau ke bidang lain. Ini walaupun diluar bidang matematik yang dipelajari. 

Sekiranya mereka yang berkelulusan sastera boleh melakukan kerja pentadbiran, sudah tentu lulusan matematik boleh melakukannya. Bukanlah untuk mengambil alih peluang pekerjaan ini dari orang lain, sekurang-kurangnya peluang untuk dipilih seharusnya diberi sama rata. 

Dalam kita ghairah mencari jalan mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara kita, seharusnya sebarang tindakan yang diambil perlu pengiraan yang betul. 

Setiap keputusan yang diambil selalunya mempunyai risiko dan setiap risiko seharusnya dikira dan dianalisis sebelum sesuatu keputusan itu diambil. Bidang matematik menjangkau ke alam pengurusan risiko. 

Satu kursus pendek bertajuk "Short Course on Forecasting and Risk Management" akan diadakan di Fakulti Sains dan dijangka pada bulan Julai 1999. 

Dalam keluaran sebelum ini ada diceritakan sedikit tentang teori ramalan dan bagaimana membuat sesuatu ramalan jualan dan sebagainya. Adalah suatu kesilapan besar jika masyarakat kita membuat andaian bahawa teknik-teknik pengurusan berkuantitatif ini diperlukan oleh syarikat yang besar-besar sahaja. 

Sebenarnya syarikat yang sederhana besar pun amat memerlukannya. Adalah menjadi suatu keperluan sekarang ini dimana dunia yang berubah begitu cepat supaya semua usahawan mula memanfaatkan teknik-teknik saintifik ini dalam perniagaan mereka. 
 

top

 
 
Halaman ini diterbitkan oleh:
Zil Kamal Mokhtar
No. 49, Jalan SP 2/10, Taman Subang Perdana, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Tel: +603 7463986         Mobil: +6012 2774419         E-mel: Zilkamal@Hotmail.Com
Anda boleh tinggalkan pesanan di sini:

Hakcipta terpelihara 1999